assalamualaikum (: jom belajar dan tahu ilmu rasm al-quran! kalau minat, follow je. dan time kasih susah-susah tekan-tekan carik dan jumpe sampai sini. ^__^

.muqaddimah.



PENGERTIAN

Rasm bermaksud satu ilmu yang membincangkan cara menulis lafaz-lafaz atau ungkapan bagi memelihara pengucapan huruf-hurufnya dari segi lafaz, huruf-huruf asal dan ilmu yang membahaskan kaedah menambah, mengurang, menyambung, memisah dan menggantikan huruf.


Rasm Uthmani pula ditakrifkan sebagai ilmu yang membincangkan kaedah penulisan kalimah-kalimah ayat Al-Quran yang diguna dan dipersetujui oleh Khalifah Uthman ketika proses penyalinan dan penulisan Al-Quran dilakukan.


Penulisan Rasm ini dibuat berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh para ulama’ rasm (tulisan) daripada mashaf-mashaf yang telah dihantar oleh Khalifah Uthman r.a ke Kota Basrah, Khufah, Syam, Makkah dan Madinah termasuklah yang diperuntukkan khas bagi rujukan Khalifah di Kota Madinah.


++++++++

Keistimewaan Rasm Uthmani


Terdapat lima kelebihan utama pada Mushaf Rasm Uthmani yang menjadikan ia perlu diutamakan berbanding kaedah penulisan lain, iaitu:

1-Tulisan Rasm Uthmani adalah mengikut sanat Rasulullah s.a.w dan telah diwarisi oleh penulis-penulis mashaf al-Quran hingga zaman kini.

2-Bertepatan Dengan Pembentangan Terakhir.

3-Mashaf Rasm Uthmani ditulis berdasarkan kepada riwayat mutawatir.

4-Merangkumi Tujuh Huruf al-Quran

5-Salah Satu Rukun Bacaan al-Quran

++++++++

Kaedah Penulisan Rasm Uthmani



1.Kaedah Meniadakan Huruf (Hazaf).

Hazaf bermaksud membuang atau meniadakan huruf-huruf tertentu dalam struktur kalimah tertentu dari al-Quran. Terdapat lima huruf yang terlibat dalam kaedah ini iaitu huruf alif, wau, ya, lam dan nun yang terdapat pada kalimah tertentu. Hazaf juga berlaku kepada huruf-huruf alif, wau, dan ya pada kata permulaan (fawatih) surah tertentu al-Quran.

Hazaf berlaku dalam tiga bentuk iaitu:

1- Hazaf Isyarah- bermaksud hazaf yang bertujuan menunjukkan wajah-wajah qiraat tentu.

2- Hazaf Ikhtisor - bermaksud hazaf peringkasan seperti pengguran alif pada struktur kata jama’ Muzakkar Salim dan Jama’ Muannath Salim.

3- Hazaf Iktisor - bermaksud hazaf pembatasan yang bermaksud hazaf alif pada kalimah-kalimah tertentu tanpa melibatkan kalimah lain.



2. Kaedah Menambah Huruf ( الزيادة )

Ziadah merupakan satu perkara penting yang perlu diketahui dalam penulisan dan pembacaan Rasm Uthmani. Ziadah bermaksud menambah huruf-huruf tertentu pada kalimah-kalimah tertentu dalam al-Quran. Huruf tersebut ditulis tetapi tidak berfungsi pada semua keadaan ketika membacanya. Huruf-huruf tambahan tersebut ialah alif , wau, dan ya.


3. Kaedah Menulis Huruf Hamzah ( الهمزه )

Dalam Mushaf Rasm Uthmani, keadaan penulisan huruf-huruf hamzah adalah berbeza antara satu sama lain bergantung kepada kedudukannya iaitu apabila kedudukan hamzah wasal atau hamzah qat’ di awal kalimah atau didahului huruf ziadah, pertengahan kalimah, hujung kalimah, tempat-tempat hukum khas.



4. Kaedah Mengganti Huruf ( الإبدال )

Ibdal ialah menukar sesuatu huruf kepada huruf yang lain . Dalam penulisan Mushaf Rasm Uthmani, “ al-Badl” merupakan perkara penting yang perlu diketahui dan diberi perhatian kerana huruf yang menggantikan sesuatu huruf itu tidak boleh dibaca sama sekali, sebaliknya yang dibaca adalah huruf asal yang digantikan itu. Dalam penulisan mashaf-mashaf Rasm Uthmani, huruf-huruf yang digantikan itu terbahagi kepada lima bahagian iaitu:

(a) Ibdal huruf Alif kepada huruf Waw.

(b) Ibdal huruf Alif kepada huruf Ya.

(c) Ibdal huruf Nun kepada huruf Alif.

(d) Ibdal huruf Ta' al-Marbutah(ة) kepada huruf Ta al-Maftuhah(ت).

(e) Ibdal huruf Thulathi Waw kepada huruf Alif.



5. KaedahMenulis Perkataan Berangkai dan Berpisah ( الوصل والفصل )

Kaedah menyambung dan memisahkan tulisan pada huruf-huruf atau kalimah-kalimah yang tertentu. Di dalam Rasm Uthmani terdapat banyak kalimah sama yang ditulis dengan cara bersambung pada suatu tempat tetapi ditulis dengan cara terpisah di suatu tempat yang lain.


6. Kaedah Ma Fih Qira’atan (Kalimah yang mempunyai dua wajah bacaan)

Kaedah penulisan kalimah yang tergolong dalam kumpulan ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

1. Mengandungi dua wajah qiraat dan ditulis bertepatan dengan cara bacaan kedua-duanya

2. Mengandungi dua wajah qiraat dan ditulis berpandukan salah satu dari keduanya (wajah yang lebih masyhur)

3. Mengandungi dua wajah qiraat dan ditulis berbeza-beza antara mushaf berpandukan kepada cara bacaannya masing-masing